ISKANDAR PUTERI: Program 'Campuses for Local Electric Vehicle Expeditious Roll-out' (CLEVER) yang akan dilaksanakan di universiti terpilih dapat meningkatkan pembangunan dan merancakkan lagi penggunaan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata program di bawah teraju NanoMalaysia Berhad (NMB) itu mampu menjadi platform atau sandbox pengawalseliaan dan inovasi bagi membolehkan syarikat pemula dan inovator menjalankan ujian masa nyata berkaitan teknologi EV dalam persekitaran terkawal.
Beliau berkata, teknologi EV berpotensi dalam usaha memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam dan penghantaran menjelang 2030.
Katanya, langkah terbabit bagi menyokong sasaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk menyediakan kira-kira 5,000 stesen mengecas EV bagi mengukuhkan sokongan infrastruktur EV.
"Langkah ini juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk memiliki dan menggunakan EV sebagai pengangkutan pilihan.
"Menerusi NMB yang juga peneraju program CLEVER bertindak mengawal selia dan memacu inovasi syarikat pemula untuk mempercepatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV.
"Ini termasuk pelaksanaan mobiliti elektrik dua roda, stesen pertukaran bateri dan stesen pengecasan tenaga boleh diperbaharui," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran CLEVER di EduCity Sports Complex di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NMB Dr Rezal Khairi Ahmad.
Dr Adham berkata pembabitan NMB adalah signifikan dalam mewujudkan ekosistem kondusif yang menggalakkan bakat tempatan untuk membangunkan kecemerlangan teknologi dan memasarkan pencapaian mereka.
"Antara objektif CLEVER adalah mengurangkan pelepasan karbon selaras matlamat menjadi negara neutral karbon seawal 2050. CLEVER melihat potensi yang ada pada universiti sebagai perintis kepada program ini.
"Persekitaran kampus universiti adalah kawasan yang bersesuaian untuk permulaan, berikutan kawasan kampus adalah persekitaran terkawal dengan had kelajuan dan bilangan kenderaan yang kurang berbanding jalan raya utama," katanya.
Sementara itu, Rezal Khairi berkata program CLEVER bukan sahaja dapat merancakkan penggunaan teknologi EV di kawasan kampus, malah berupaya menangani isu seperti aspek mampu milik, bakat mahir tempatan serta sokongan teknikal, kekurangan infrastruktur terkemuka dan kebimbangan jarak melalui pendekatan terbaik.
"CLEVER akan memberikan pendekatan yang sangat bijak atau CLEVER approach untuk Malaysia mencapai kedaulatan teknologi dan ekuiti komersial dalam sektor EV, sama ada di peringkat tempatan mahupun di peringkat serantau," katanya.
Beliau berkata pihaknya komited menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport komponen kenderaan elektrik (EV), menerusi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk pelancaran CLEVER.