ISKANDAR PUTERI: Iskandar Investment Berhad (IIB) terus komited memperkasa pembangunan bakat tempatan selepas menaja perenang cilik, Tan Rouxin yang akan beraksi pada temasya SUKMA 2020, Julai depan.

Penajaan yang diberikan kepada atlet berusia 14 tahun itu membabitkan kos latihan intensif serta keperluan bersesuaian yang dianggarkan keseluruhan bernilai kira-kira RM15,000.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad menjelaskan tajaan itu bertujuan memberi suntikan motivasi buat Rouxin supaya terus meraih kejayaan gemilang untuk Johor dan Malaysia.

“IIB sentiasa percaya dan yakin dalam mengembangkan bakat tempatan di Johor dan ini seiring dengan aspirasi kami untuk bertindak sebagai pemangkin perubahan.

“Sokongan sebegini membolehkan bakat tempatan mengikuti program pembangunan sukan berstruktur untuk mencapai prestasi optimum mereka,” katanya.

Sebagai rekod, Rouxin sebelum ini pernah dinobat sebagai Atlet Harapan pada Hari Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE) – MSSM Milo 2018 selain menggondol pingat emas dan perak di beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Dalam masa sama, Khairul turut membuka pintu kepada mana mana atlet untuk menjalani latihan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan EduCity (ESC) yang mana ia turut digunakan oleh Rouxin sendiri sejak enam tahun lalu.

“Kemudahan ini dibina seiring dengan piawaian Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) seperti kolam renang bersaiz Olimpik, ‘touch pad’, papan skor elektronik dan kolam pemanas badan sekali gus menjadikan ia medan latihan terbaik bagi melahirkan juara renang.

“Rouxin yang melalui latihan intensif di ESC membuktikan kesungguhan serta kegigihannya mencapai kejayaan dan IIB sangat gembira untuk membantu perkembangannya,” katanya.