EDUCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) komited melahirkan atlet sukan renang dalam kalangan Orang Asli Seletar menerusi Program Pembangunan Renang EduCity (ESDP).

Pengarah Urusan, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata, program dikendalikan enam jurulatih renang itu berlangsung setahun bermula 12 Julai lalu dengan kelas renang diadakan pada Jumaat setiap minggu di Pusat Akuatik Kompleks Sukan EduCity.

 

“Program bersifat inklusif ini membabitkan kanak-kanak Orang Asli Seletar berusia sembilan hingga 17 tahun. Etnik Seletar satu daripada 18 etnik Orang Asli di Malaysia yang penempatannya terletak berhampiran kawasan Iskandar Puteri.

 

“Selepas tempoh setahun, EduCity akan melihat keupayaan peserta untuk menyertai pertandingan, selain turut mengalu-alukan syarikat korporat bekerjasama bagi penambahbaikan program sukan renang pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas perasmian program, hari ini.

Wan Ahmad Saifuddin berkata, inisiatif itu membolehkan mereka mencari bakat renang yang boleh diketengahkan ke peringkat elit, manakala klinik kejurulatihan renang dan pertandingan novis memberi ruang kepada pelajar sekolah di sekitar Iskandar Puteri untuk mempelajari asas sukan renang.

“Sebelum ini, sudah ada atlet SUKMA yang lahir daripada program renang diadakan di EduCity dan tidak mustahil kali ini kita mampu melahirkan perenang bertaraf antarabangsa dalam kalangan Orang Asli Seletar menerusi program yang dirancang,” katanya.